KEPENTINGAN PRA SEKOLAH

  1. admin
  2. December 18, 2012 10:40 am

Prasekolah: Meningkatkan kadar penyertaan kanak-kanak 4+ dan 5+ tahun, dan mempertingkatkan kualiti sistem
Kepentingan pendidikan prasekolah sebagai penyediaan kepada kanak-kanak ke alam persekolahan telah banyak didokumentasikan. Menurut UNESCO, pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam perkembangan minda kanak-kanak dan dapat mengurangkan kekurangan sedia ada dan di masa depan.26 Kajian dijalankan di Amerika Syarikat mendapati kanak-kanak yang mengikuti pendidikan prasekolah, lebih komited dalam pendidikan dan memperolehi pendapatan lebih tinggi pada masa hadapan. Menyedari kepentingan pendidikan prasekolah serta skop Malaysia dalam meningkatkan kadar penyertaan prasekolah, yang mana kadar semasa ialah 67% bagi kanak-kanak yang berumur empat dan lima tahun (Gambarajah 8.3), kami telah mengenalpasti pendidikan prasekolah sebagai salah satu fokus di bawah NKRA Pendidikan.

Bagi meningkatkan kadar penyertaan dan kualiti pendidikan prasekolah, kami telah mengenal pasti tujuh teras bagi memperkasa tadbir urus dan pelaksanaan pendidikan prasekolah yang berkualiti.
1. Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan serta Bahagian Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Prasekolah. Jawatankuasa ini berperanan mengkaji semula dasar pendidikan prasekolah kerajaan dan prasekolah swasta yang berdaftar termasuk kurikulum, kriteria kelayakan, latihan dan penilaian, menyelaras semua prasekolah (kerajaan dan swasta) serta memantau dan menilai pendidikan prasekolah bagi menggubal dasar prasekolah masa depan. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pelajaran (MOE), manakala ahli tetapnya terdiri daripada Ketua Pengarah KEMAS, Ketua Pengarah JPNIN dan Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta (MOE).
2. Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bermula Januari 2010, yang dibangunkan dengan kerjasama agensi swasta. KSPK memberi penekanan dalam aspek berikut:
2.1 Menggabungkan prinsip pendidikan holistik yang berorientasikan kepada hasil Pembelajaran
2.2 Memastikan proses pengajaran dan pembelajaran mengambil kira latar belakang pelajar yang berbeza
2.3 Mentakrifkan penggunaan bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin sebagai bahasa instruksional
2.4 Melibatkan aktiviti-aktiviti yang menggalakkan pemahaman budaya serta aktiviti pelbagai bangsa
3. Menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah kerajaan. Ini termasuk penyeragaman pemberian geran per kapita kepada prasekolah MOE, KEMAS dan JPNIN serta menaikkan bantuan makanan bagi menampung inflasi.
4. Meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru prasekolah. Program Peningkatan Kemahiran akan diberikan kepada lebih kurang 30,000 guru dan pembantu guru prasekolah sedia ada dan baru dalam tempoh tiga tahun. Selain itu, kriteria kelayakan minima untuk semua guru prasekolah ialah Ijazah sarjana muda. Sebagai tambahan, kerajaan juga akan membangunkan kerangka kecemerlangan pendidikan prasekolah, dengan menakrifkan sasaran yang perlu dicapai oleh prasekolah
5. Menambah bilangan kelas prasekolah, khususnya bagi kanak-kanak berumur 4+ tahun. Berdasarkan kepada kadar penyertaan semasa, disasarkan bilangan kelas prasekolah yang diperlukan dalam anggaran 10,000 kelas. Bagi mencapai sasaran ini, pihak kami akan meningkatkan kerjasama dengan pihak swasta.
6. Meningkatkan Perkongsian Pintar Kerajaan-Swasta dalam pendidikan prasekolah. Insentif baru akan diberikan kepada pengusaha presekolah swasta khususnya di kawasan miskin bandar dan di luar bandar. Manakala pihak swasta pula , perlu mematuhi standard yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan, termasuk sasaran yang ditetapkan.
7. Mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan bagi menyelaras dan mengumpul maklumat berkaitan prasekolah termasuk maklumat asas pelajar, personel dan lokasi sekolah serta pencapaian prasekolah tersebut. Dengan sistem ini, pihak Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan akan dapat memantau dan menilai pelaksanaan prasekolah dengan lebih telus dan berkesan serta dapat merancang dasar-dasar baru bagi memantapkan pelaksanaan pendidikan prasekolah.
Penambaikan kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan ini merupakan satu inisiatif yang diterima baik oleh pengunjung ke ruang pameran Pendidikan semasa Hari Terbuka. Literasi dan numerasi: Memastikan semua kanak-kanak27 berupaya menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah.

Sasaran yang ditetapkan agak sukar dicapai, walaupun untuk golongan dewasa kerana kurang daripada 30 negara mempunyai kadar literasi mencapai 100%. Namum, sasaran yang tinggi untuk kadar literasi dan numerasi amat penting. Ini disebabkan pada tahun 2008 sahaja, masih terdapat 54,000 pelajar Tahun 1 (anggaran 13% daripada jumlah enrolmen pelajar Tahun 1) yang tidak menguasai kemahiran literasi dan 117,000 (24%) pelajar dalam Tahun 4 yang tidak menguasai kemahiran numerasi yang ditetapkan.

Kajian yang telah dijalankan oleh MOE menunjukkan bahawa faktor yang menyumbang kepada keciciran pelajar adalah disebabkan ketidakupayaan untuk menerima pelajaran yang diajar. Pada tahun 2008, hampir 32,000 pelajar cicir dari pelbagai peringkat persekolahan. Harapan kerajaan, sekiranya penguasaan kemahiran literasi dan numerasi asas diberi penekanan bermula daripada peringkat awal pendidikan, kadar keciciran pelajar akan dapat dikurangkan. Penguasaan kemahiran literasi dan numerasi pada peringkat awal pendidikan juga amat kritikal bagi seseorang kanak-kanak kerana penguasaannya akan menjadi lebih sukar di masa hadapan – kegagalan adalah kumulatif

Penguasaan kemahiran literasi dan numerasi juga akan mengupayakan anak-anak kita supaya lebih produktif dan lebih berkeyakinan untuk menyertai aktiviti komuniti setempat dan masyarakat keseluruhannya.


Leave a Reply